Artikel

Malaysia Berisiko Rugi RM34 Bilion Menjelang 2030 – Kesan Abai Isu Kesihatan Mental

Ternyata lebih 4 juta rakyat Malaysia dijangka berisiko mengalami masalah kesihatan mental menjelang tahun 2030. Sekiranya isu ini tidak diatasi segera, ia berupaya mencetuskan kerugian produktiviti yang besar buat negara sekitar RM34 bilion, iaitu bersamaan 1.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tempoh tersebut.

Data daripada Zurich Insurance Group menerusi tinjauan The Value of Mental Health di beberapa pasaran dunia ini memperincikan bahawa individu di Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental dianggarkan kehilangan purata 62.5 hari kehidupan sihat setiap tahun menjelang 2030. Manakala, kesan keseluruhan terhadap aspek kesejahteraan hidup pula diunjurkan hampir mencecah RM109 bilion.

Di beberapa negara, isu kesihatan mental ini mula dikenal pasti sebelum atau ketika individu memasuki pasaran kerja, sekali gus meningkatkan risiko yang boleh menjejaskan pekerjaan pertama, pembentukan kemahiran, serta penglibatan jangka panjang mereka dalam tenaga kerja. Di sesetengah negara, jurang kadar bekerja ini mencecah hingga 29%. Manakala di Malaysia, individu dengan masalah kesihatan mental dianggarkan 18% kurang cenderung untuk bekerja berbanding mereka yang sihat.

Lebih membimbangkan, sebanyak 42% rakyat Malaysia yang berdepan dengan isu ini terpaksa menanggung sendiri kos rawatan mereka. Pada masa yang sama, keluarga pula perlu mengorbankan anggaran sehingga 1,275 jam penjagaan tanpa bayaran setahun bagi setiap negara yang dikaji , manakala di peringkat tempatan ia melibatkan impak terkumpul melebihi 123 jam penjagaan tanpa bayaran menjelang 2030. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti global, malah meningkatkan lagi tekanan kewangan ke atas kumpulan pekerja yang terlibat sekiranya tiada langkah intervensi konkrit daripada pihak majikan.

Selain itu, perkembangan automasi dan kecerdasan buatan (AI) pada arena ekonomi dilihat turut mengubah laluan kerjaya pekerja semasa, yang mana menuntut keperluan kemahiran yang lebih tinggi, sekali gus dijangka meningkatkan lagi tekanan sedia ada.

Oleh itu, Zurich melihat keperluan sokongan awal melalui penyediaan tugasan yang lebih fleksibel serta bantuan untuk meningkatkan tahap kemahiran pekerja wajar diberikan keutamaan. Tindakan proaktif ini amat penting untuk mengurangkan risiko kemerosotan produktiviti dan kehilangan bakat semasa, memandangkan pengunduran daripada pasaran kerja menyumbang kepada 95% daripada keseluruhan kerugian produktiviti berkaitan kesihatan mental di Malaysia.