Sewaktu penulis kecil, sebelum keluarga memutuskan untuk melanggan pakej Astro, setiap kali penulis menonton saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), siarannya pasti tidak jelas dan sering terganggu. Mungkin ia disebabkan faktor kawasan rumah yang tidak memiliki rangkaian penerimaan yang bagus atau kedudukan piring antena di atap yang tidak kukuh? Namun, setelah keluarga beralih kepada Astro, siaran RTM terus menjadi jelas dan stabil tanpa sebarang gangguan. Begitulah memori yang melekat dalam kotak fikiran penulis berkenaan kedua-dua penyiar ini.
Namun, apakan daya bermula 1 Julai 2026 ini, RTM akan menoktahkan kerjasama mereka dengan Astro setelah hampir tiga dekad menjalin kesepakatan sejak tahun 1996. Mengapakah perkara ini berlaku? Penulis pasti penonton generasi muda tidak akan menghadapi masalah teknikal siaran sebagaimana kita dahulu sekiranya kedua-dua entiti ini tidak lagi berada di bawah medium yang sama. Namun, apakah faktor utama yang mendorong RTM mengambil keputusan sedemikian?
RTM Perlu Bayar Kos Sewa Saluran Yang Tinggi
Buat pengetahuan umum seperti yang dilaporkan, dalam industri TV satelit, penyiar awam seperti RTM biasanya perlu membayar yuran tertentu kepada penyedia platform seperti Astro untuk menyiarkan saluran mereka. Kos ini merangkumi aspek teknikal yang berfungsi memancarkan isyarat ke satelit dan seterusnya ke dekoder rumah pengguna, yang dikenali sebagai sewaan transponder satelit. Selain itu, kos integrasi sistem dan akses kepada pangkalan penonton yang luas juga perlu ditanggung bagi menjamin kelangsungan siaran tersebut.
Tambahan pula, langkah RTM yang kini beralih sepenuhnya kepada format Definisi Tinggi (HD) menuntut komitmen kewangan yang lebih tinggi berbanding saluran lain. Berdasarkan penelitian terhadap pekeliling bertarikh 11 Mei lalu, kedua-dua pihak dilaporkan gagal mencapai persetujuan berhubung harga dan kontrak bagi kerjasama seterusnya. Walaupun notis tersebut tidak memperincikan angka sebenar, situasi ini memberi gambaran jelas bahawa berlakunya kenaikan kos pada pelarasan harga komersial. Memandangkan peruntukan RTM adalah di bawah piawaian kerajaan, langkah mengoptimumkan kos edaran wajar diutamakan supaya modal tersebut dapat dimanfaatkan untuk pembangunan kandungan yang lebih berkualiti.
Prestasi Astro Merosot 51%
Selain berdepan tekanan kos operasi yang tinggi, prestasi Astro selaku rakan strategik juga perlu diteliti. Berdasarkan prestasi kewangan kepada Bursa Malaysia bagi tahun berakhir Januari 2026, Astro mencatatkan keuntungan bersih yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM63.13 juta. Angka ini menunjukkan kemerosotan mendadak sebanyak 51% secara tahunan berbanding rekod RM129.15 juta pada tahun sebelumnya.
Kedudukan kewangan yang mencabar ini antaranya berpunca daripada penurunan hasil langganan sebanyak 9%. Selain itu, Purata Hasil Bagi Setiap Pengguna (ARPU) turut menurun daripada RM98.50 kepada RM94.30 disebabkan trend pengguna yang kini lebih cenderung beralih kepada pakej langganan yang lebih murah atau fleksibel.

Penstriman, Platform Digital Bantu RTM – Teroka Penjimatan, Perluasan Capaian
Dengan prestasi kewangan Astro yang kian merudum, ditambah pula dengan segmen penstriman RTM yang semakin kukuh menerusi aplikasi RTMKlik dan platform MyFreeView, tindakan menamatkan kontrak ini dilihat tidak akan memberi kerugian besar kepada RTM. Malah, ia memberi ruang kepada pengurusan untuk menstrukturkan semula perbelanjaan bagi pembangunan jenama dan kandungan.
Sebagai perincian, melalui pelaksanaan projek Pendigitalan Penyiaran Nasional, kerajaan telah memperkenalkan MyFreeView sebagai platform TV digital percuma yang dikendalikan oleh MYTV Broadcasting. Dengan adanya infrastruktur sendiri, RTM tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga untuk meluaskan capaian tontonan. Ini membolehkan RTM menawarkan kualiti HD pada kadar yang lebih berpatutan dan mampan demi kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Sebaliknya Astro Alami Kesan Yang Lebih Besar
Keputusan RTM untuk keluar daripada platform Astro menandakan berakhirnya era Astro sebagai pusat sehenti atau gatekeeper utama media di Malaysia yang telah bertahan selama tiga dekad. Kehilangan saluran nasional seperti TV1 dan TV2 bukan sekadar isu kandungan, malah ia merupakan tamparan psikologi yang menunjukkan bahawa kerajaan kini tidak lagi bergantung kepada satelit Astro untuk sampaikn maklumat kepada rakyat, sebaliknya lebih yakin dengan infrastruktur sendiri seperti MyFreeView dan RTMKlik. Berdasarkan kewangan pula, Astro berpotensi berdepan tekanan dengan kehilangan pendapatan stabil daripada yuran sewaan saluran serta persaingan sengit bajet pengiklan yang mula beralih ke platform digital percuma milik RTM.
Kesan paling kritikal daripada peralihan ini adalah risiko migrasi pelanggan secara berkala terutamanya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan pengguna perkhidmatan NJOI. Ramai pelanggan dalam kategori ini melanggan Astro semata-mata untuk mendapatkan isyarat saluran nasional yang jelas – namun apabila RTM tidak lagi tersedia, nilai Astro sebagai penyampai maklumat utama telah hilang. Hal ini dijangka akan memacu perpindahan pengguna ke dekoder MYTV yang menawarkan akses percuma tanpa yuran bulanan atau komitmen kontrak, sekali gus menghakis pangkalan data pengguna Astro secara keseluruhan dan mengukuhkan realiti bahawa dominasi mutlak syarikat satelit tersebut dalam landskap penyiaran negara akan terkesan.