H&M, jenama pakaian moden antarabangsa telah mengumumkan langkah strategik untuk menyusun semula operasi di rantau Asia Pasifik dengan memindahkan ibu pejabat Asia Tenggara dari Singapura ke Kuala Lumpur (KL).
Penstrukturan semula ini merupakan sebahagian daripada evolusi model operasi komersial syarikat yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan di lima pasaran jualan utama termasuk Asia Tenggara, Asia Timur Laut, India, Oceania, dan China. Di bawah struktur baharu ini, hab benua APAC akan berpusat di Shanghai manakala KL akan menjadi pusat utama bagi pasaran Asia Tenggara.
Namun langkah ini mengikut laporan akan memberi kesan kepada kira-kira 30% tenaga kerja sokongan serantau yang bakal diberhentikan. Di pejabat Singapura sahaja, sebanyak 78 daripada 256 jawatan akan dimansuhkan selepas proses penilaian kakitangan tamat menjelang Jun 2026. Berbeza dengan proses pengambilan biasa, H&M akan menentukan penempatan pekerja berdasarkan prestasi tahun 2025 dan rekod tatatertib. Bagi kakitangan yang tidak berjaya diserap ke dalam organisasi baharu, syarikat akan menawarkan perjanjian penamatan kontrak bersama pampasan.
Selain Singapura, pengecilan operasi turut melibatkan pejabat sokongan di Seoul, Manila, dan Ho Chi Minh City. Meskipun terdapat rombakan besar-besaran di peringkat pengurusan dan sokongan, H&M memberi jaminan bahawa semua operasi di peringkat kedai serta pasukan peruncitan tidak akan terjejas. Dengan komitmen tersebut, H&M menjangkakan perubahan ini dapat diselesaikan sehingga Jun kelak dan operasi dapat laksana secara penuh menjelang 1 Julai 2026 ini.