Artikel

Lebih 10.6 Juta Pelancong Datang Ke Malaysia – Sepanjang Suku Pertama 2026

Prestasi 3 bulan pertama menunjukkan Malaysia menempa rekod baharu dalam sektor pelancongan semasa apabila kemasukan lebih 10.6 juta pelancong antarabangsa dicatatkan dengan peningkatan 5.4%. Pencapaian ini menjadikan ia sebagai tahun kedua berturut-turut negara melepasi sasaran 10 juta bagi tiga bulan pertama. 

Perkembangan ini menurut laporan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dipacu oleh lonjakan pelancong dari China yang meningkat sebanyak 25.2% hasil daripada permintaan tinggi semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina. Selain pasaran Asia, Malaysia turut mencatatkan mercu tanda penting apabila jumlah pelancong dari Eropah melebihi 500,000 orang pada suku pertama buat kali pertama. Pasaran seperti Turkiye, Ukraine, dan Poland menunjukkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan.

Tetapi beberapa pasaran seperti Indonesia dan India mengalami sedikit penurunan, manakala rantau Timur Tengah terjejas ekoran ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada kos operasi penerbangan.