Artikel

TNG Digital Lancar BizCash – Perluas Akses Pembiayaan Digital Buat Peniaga Kecil

Memahami keperluan modal bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang sesebuah perniagaan, TNG Digital, pengendali aplikasi Touch ‘n Go eWallet secara rasminya telah melancarkan BizCash, sebuah platform pembiayaan perniagaan digital sepenuhnya di dalam aplikasi. 

Inisiatif ini bertujuan untuk meluaskan akses pembiayaan bagi perusahaan mikro dan kecil, terutamanya pemilik tunggal yang berdaftar dengan SSM yang selama ini kurang mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan tradisional. Berdasarkan perincian TNG Digital, akses ini menyediakan tawaran pembiayaan sehingga RM150,000 dan akan diproses secara digital sepenuhnya buat kumpulan peniaga yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Menariknya ia turut tersedia buat kumpulan peniaga yang merekodkan jualan bulanan sekurangnya RM4,200 sebulan dan telah beroperasi selama 1 tahun. 

Namun permohonan ini dijelaskan tidak mematuhi piawaian patuh syariah susulan ia tersedia di bawah pembiayaan perniagaan konvensional.

Bagi fasa permulaan, TNG Digital menjalinkan kerjasama dengan CIMB Bank sebagai rakan pembiayaan pertama sebelum diperluaskan bersama rakan institusi kewangan yang lain. Adanya perluasan ini, para peniaga tidak sekadar meraih akses pembiayaan bahkan turut memanfaatkan aliran pembayaran, pelaburan dan perlindungan perniagaan mereka di bawah platform yang sama.