Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pengenalan beberapa penambahbaikan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan perncarum – antaranya pengenalan i-Legasi, penjenamaan semula kaedah bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sebagai i-Emas, dan pelancaran Kalkulator Matlamat Persaraan.
Mengikut notis kemudahan i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat iaitu pasangan dan anak-anak setelah mencapai umur pengeluaran penuh. Jumlah pemindahan itu adalah selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), iaitu boleh membuat pemindahan kepada lebih daripada seorang ahli keluarga selagi baki simpanan kekal melebihi tahap Simpanan Mencukupi RM650,000.
Pemindahan ini dibuat daripada simpanan yang boleh dikeluarkan dan akan dikreditkan ke dalam akaun persaraan penerima, yang bertujuan untuk simpanan jangka panjang.
Manakala i-Emas pula, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan. Setakat ini, lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai umur 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.
Selanjutnya akses Kalkulator Matlamat Persaraan ini pula membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan. Dengan akses ini, ahli boleh merancang lebih awal, memanfaatkan produk dan perkhidmatan KWSP untuk memenuhi keperluan persaraan, serta memperkasa perancangan kewangan masa depan mereka.