Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) secara rasmi melantik Dato’ Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 20 Mei ini.
Berbekalkan pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor kewangan dan perbankan, penyertaan Datuk Jay Khairil ini disasarkan dapat mengukuhkan kedudukan KWAP sebagai pengurus dana pencen sektor awam yang cekap di Malaysia.
Sebelum menyertai KWAP, Dato’ Jay Khairil ketika ini merupakan CEO Bank Simpanan Nasional (BSN), di mana beliau berjaya menerajui transformasi bank tersebut dalam aspek prestasi kewangan, perbankan digital, dan rangkuman kewangan. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di institusi kewangan lain termasuklah CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia), Alliance Bank dan Bank Negara Malaysia. Dari segi akademik, beliau merupakan lulusan ijazah perniagaan dan kewangan dari Heriot-Watt University, Scotland, serta memegang pelbagai pengiktirafan profesional seperti Jurubank Bertauliah dan Akauntan Pengurusan Global Bertauliah.
Dalam peranan baharunya, Dato’ Jay Khairil akan bertanggungjawab menerajui hala tuju strategik, operasi, dan keutamaan institusi KWAP, sambil memajukan mandat organisasi melalui pelaburan yang berdisiplin serta tadbir urus yang mantap.