Selaku pengguna yang gemar membuat pengiraan mudah, setiap kali berbelanja secara fizikal di pasaraya mahupun melanggan apa-apa produk digital di atas talian, saya seringkali memilih produk harga yang berakhir dengan 99 sen. Tabiat ini kadang kala mengundang perdebatan bersama pasangan berikutan saya berasa harga RM2.99 lebih berpatutan berbanding RM3.00.
Kedengarannya agak lucu, tetapi mengapa tabiat ini wujud? Adakah ini sekadar kebetulan, atau sebahagian daripada teknik pemasaran yang licik? Berikut adalah kupasan mengapa perbezaan satu sen ini sangat berkuasa dalam mempengaruhi keputusan kita selaku pengguna.
Left-Digit Effect – Otak Pengguna Laksana Pengiraan Mudah
Secara biologi, otak manusia memproses maklumat dari kiri ke kanan. Fenomena yang dikenali sebagai The Left-Digit Effect menunjukkan bahawa kita cenderung memberi perhatian lebih kepada angka pertama (paling kiri) dalam sesuatu harga.
Apabila kita melihat RM2.99, otak kita secara separa sedar akan memproses angka 2 dahulu. Walaupun secara logiknya RM2.99 hanya kurang satu sen daripada RM3.00, memori jangka pendek kita mengkategorikan harga tersebut dalam kelompok RM2.00 walhal sepatutnya perlu ada tanggapan harga sedemikian hampir RM3.00. Situasi dibuktikan menerusi tinjauan Ohio State University (2021) pada pelarasan harga kopi – yang mana apabila harga kopi meningkat daripada $0.95 ke $1.20 hanya 29% pelanggan yang sanggup menaik taraf saiz minuman mereka. Namun, apabila kenaikan berlaku daripada $1.00 ke $1.25 seramai 56% pelanggan memilih untuk menaik taraf saiz. Ini membuktikan bahawa perbezaan satu sen itu berjaya menipu persepsi nilai kita dalam sekelip mata sebelum sempat kita melakukan pengiraan rasional.
Kurang 1 Sen – Beri Isyarat Harga Barang Lebih Murah
Harga yang berakhir dengan angka sembilan, atau disebut sebagai Charm Pricing, menghantar isyarat psikologi yang kuat. Ia seolah-olah memberi stigma kepada pengguna bahawa produk tersebut sedang dalam promosi, harga runtuh, atau telah dikurangkan ke tahap paling minimum.
Ini dilihat selari dengan analisis terhadap 58,000 harga kasut atas talian dalam Journal of Business Research, semakin tinggi harga sesuatu barangan, semakin berkurangan penggunaan harga yang berakhir dengan angka sembilan. Jenama mewah mahu pengguna fokus pada kualiti dan prestij, bukan pada tawaran murah.
Sebaliknya, harga genap seperti RM50.00 atau RM100.00 sering digunakan oleh jenama premium atau restoran mewah untuk menunjukkan kualiti, prestij, dan ketelusan. Namun bagi kebanyakan kita, melihat angka RM2.99 memberikan kepuasan emosi—kita rasa seperti seorang pembeli yang bijak kerana berjaya mendapatkan harga terendah di rak tersebut.
Sistem Penggenapan 5 Sen – Tetap Dorong Pengguna Malaysia Berbelanja RM3.00, Bukan RM2.99
Hakikatnya, walaupun penulis rasa dengan memilih harga RM2.99 dapat meraih penjimatan yang besar tetapi masih ramai yang lupa – Malaysia mengamalkan Sistem Penggenapan 5 Sen sejak 1 April 2008.

sekiranya keseluruhan bil pengguna berakhir dengan 1,2,6 dan 7 sen maka ia akan diturunkan kepada 5 sen yang terdekat. Dan jika bil pengguna berakhir pada 3,4,8 dan 9 sen terdekat maka ia akan dinaikkan kepada 5 sen terdekat. Sistem ini untuk makluman terpakai secara atas talian mahupun secara tunai.
Jadi, jika anda sering berdebat dengan pasangan tentang RM2.99 lawan RM3.00, jangan risau—anda tidak keseorangan. Ia adalah tindak balas semula jadi manusia terhadap strategi pemasaran yang telah diasah selama berdekad-dekad. Walaupun satu sen mungkin tidak mempunyai nilai fizikal yang besar, nilai psikologinya cukup untuk membuatkan kita rasa lebih untung setiap kali melangkah keluar dari kedai.