Artikel

Bank Rakyat Perkenal Kad Kredit-i World Mastercard, Tumpu Ganjaran Buat Pelancong

Bank Rakyat dengan kerjasama Mastercard hari ini telah melancarkan Kad Kredit-i World Mastercard Bank Rakyat, sebuah kad kredit patuh Syariah yang direka khas untuk memberikan ganjaran premium kepada pengguna terutama melibatkan aktiviti pelancongan.

Kad ini menyasarkan segmen rakyat Malaysia yang lebih luas dengan menetapkan syarat pendapatan minimum tahunan sebanyak RM80,000. Melalui pelancaran ini, Bank Rakyat komited untuk menawarkan produk inovatif yang mencerminkan nilai tempatan sambil menyediakan kemudahan bertaraf dunia bagi urusan perbelanjaan runcit dan pelancongan.

Kad kredit ini memfokuskan kepada tiga kelebihan utama bagi aktiviti pelancongan. Pemegang kad boleh menikmati pulangan tunai sebanyak 5% untuk tempahan hotel, tiket penerbangan, dan perbelanjaan makan tertakluk kepada RM1,500 setahun.

Selain itu, antara daya tarikan utama ialah 0% Pertukaran Asing, yang bermaksud tiada caj tambahan dikenakan untuk penukaran mata wang bagi transaksi luar negara. Pengguna juga layak mendapat 6 kali akses percuma setahun ke ruang legar lapangan terbang gabungan Mastercard di seluruh dunia.

Dari segi ganjaran mata, pemegang kad boleh mengumpul 10x Rakyat Rewards bagi setiap RM10 yang dibelanjakan di luar negara, manakala perbelanjaan domestik pula akan menerima 2x Rakyat Rewards bagi setiap RM10. Bukan itu sahaja, kad ini turut dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan gaya hidup di bawah Mastercard World Privileges. Ini termasuklah perkhidmatan concierge perjalanan, naik taraf bilik hotel secara eksklusif, akses ke padang golf terpilih di seluruh dunia, serta perkhidmatan perayauan data antarabangsa percuma.

Secara menyeluruh Kad Kredit-i World Mastercard Bank Rakyat ini akan mula berada di pasaran pada Jun 2026. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.bankrakyat.com.my.