Artikel

MARA Liner Pacu Mobiliti Negara Bersama Rakan Strategik – Libat Berjaya Rail, Grab Dan Bateriku

MARA Liner kini mengorak langkah proaktif dalam mentransformasikan landskap pengangkutan negara menerusi pemeteraian 6 kerjasama strategik utama. Langkah ini bertujuan memperkukuh keupayaan syarikat merentasi aspek pengurusan armada, pendigitalan sistem, serta integrasi perkhidmatan mobiliti yang lebih menyeluruh.

Kesepakatan ini melibatkan rakan industri iaitu Berjaya Rail, Grab Malaysia, Bateriku, KATSANA Holdings, Tuxuri Sdn Bhd, dan Tron Bradbury Energy.

Melalui kerjasama ini, MARA Liner bakal mengoptimumkan rantaian mobiliti yang merangkumi struktur pajakan armada, penyelenggaraan (MRO), serta penerokaan pembangunan stok gerabak termasuk pengeluaran tempatan. Integrasi bersama Grab Malaysia misalnya, bakal menyelesaikan isu rantaian perjalanan, manakala kolaborasi bersama Berjaya Rail pula membuka peluang besar dalam kepakaran teknikal bagi projek infrastruktur rel nasional pada masa hadapan.

Selain aspek fizikal, fokus kerjasama ini turut membawa kepada pendigitalan ekosistem penyelenggaraan dan keselamatan. Kerjasama dengan Bateriku dan KATSANA akan memodenkan sistem bantuan kecemasan tepi jalan serta pemantauan data kenderaan secara masa nyata. Pada masa yang sama, penglibatan Tron Bradbury Energy menandakan komitmen MARA Liner terhadap inovasi tenaga hijau dan kelestarian dalam operasi pengangkutan awam mereka.