Artikel

BNM Denda Zurich RM1.56 Juta – Gagal Patuhi Sekatan Kewangan Bersasar

Kesan gagal mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar di pasaran semasa – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pihaknya telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM1.04 juta ke atas Zurich General Insurance Malaysia dan denda RM520,000 terhadap Zurich General Takaful Malaysia Berhad. 

Pengenaan penalti ini secara menyeluruh melibatkan jumlah RM1.56 juta pada 19 Januari 2026 lalu.

Langkah ini diambil susulan BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini berdasarkan laporan Zurich mengenai pendaftaran beberapa entiti yang ditentukan yang tersenarai dalam Senarai Domestik sebagai pelanggannya. Perkara ini berpunca daripada kegagalan Zurich mengemas kini pangkalan data sekatan tepat pada masanya, lantas mengakibatkan saringan sekatan dilaksanakan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini.

Zurich juga gagal mengenalpasti dan membuat semakan lanjut untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat. Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam sistem saringan sekatan dan prosedur operasi standard Zurich, serta tahap pengawasan dan tahap kesedaran kakitangannya yang rendah.

Tindakan penalti ini bagaimanapun telah dilunaskan Zurich pada 26 Januari lalu dan pihak operasi telah mengambil langkah drastik pemulihan dengan menambah baik SOP dan memberikan latihan kepada kakitangan yang berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan sekatan kewangan bersasar.