Seiring dengan matlamat memperkasakan peniaga tempatan, Shopee Malaysia kini tampil dengan inisiatif sokongan Shopee Lindung Niaga bernilai RM150 juta dalam membantu memacu perkembangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di pasaran semasa.
Teras utama inisiatif ini menurut Shopee adalah merangsang aktiviti jual beli melalui pelbagai insentif logistik. Antaranya memperkenalkan baucar penghantaran percuma tanpa pembelian minimum diikuti bantuan khas turut diberikan untuk kategori barangan bersaiz besar seperti perabot bagi mengimbangi kos penghantaran yang tinggi.
Sokongan ini bukan sahaja meringankan beban kos pengguna, malah membantu penjual meningkatkan kadar penukaran jualan dan menjangkau pelanggan dengan lebih berkesan.
Tidak hanya itu, akses tunai turut disediakan dengan pembiayaan melebihi RM5 juta, termasuk subsidi faedah penuh untuk ansuran pertama serta diskaun yuran pendahuluan bagi penjual baharu. Kemudahan ini membolehkan PMKS mengurus stok dan mengembangkan operasi dengan lebih cekap tanpa terbeban oleh kekangan kewangan yang meruncing dalam tempoh terdekat.
Disusuli perkhidmatan melalui Fulfilled by Shopee (FBS) – yang mana akses ini membolehkan peniaga meraih percubaan sokongan secara percuma selama 6 bulan. Inisiatif pergudangan ini berpotensi membantu penjual meningkatkan trafik kedai sehingga 20% dan memastikan penghantaran yang lebih pantas serta boleh dipercayai. Secara keseluruhan, Shopee Lindung Niaga merupakan pendekatan holistik yang mengimbangi keperluan pertumbuhan penjual dan kepuasan pembeli demi ekosistem e-dagang yang lebih sihat di Malaysia.
