Artikel

Khazanah, SC Lancar Sukuk Token Pertama Malaysia – Bernilai RM100 Juta

Pasaran modal Malaysia kini memperlihatkan perkembangan yang menarik apabila Khazanah Nasional dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti (SC) bertindak melaksanakan penetapan harga sukuk yang ditokenkan pertama di Malaysia pada nilai RM100 juta. 

Sukuk atau bon yang ditokenkan ini untuk makluman merupakan produk pasaran modal yang berasaskan teknologi lejar teragih (DLT), yang mana memiliki salinan digital bagi setiap instrumen dan tidak boleh diubah suai serta dilindungi secara kriptografi. Dengan pendekatan itu, ia sekali gus menambahbaik tahap ketelusan dan penerbitan instrumen di pasaran modal semasa.

Pelancaran sukuk token sulung ini merupakan komponen strategik di bawah Program Sukuk Danum, yang merupakan sebahagian daripada Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dengan nilai keseluruhan mencecah RM20 bilion. Inisiatif ini membuktikan kesediaan Malaysia dalam mengintegrasikan teknologi kewangan ke dalam struktur kewangan Islam arus perdana, sekali gus meletakkan negara sebagai hab inovasi digital yang kompetitif di peringkat global.

Kejayaan inisiatif perintis ini turut diperkukuhkan melalui penglibatan aktif rakan institusi kewangan terkemuka bagi memacu ekosistem pelaburan yang lebih moden. Antara entiti yang terlibat termasuklah CIMB Bank, Maybank, Credit Guarantee Corp (CGC), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dan OCBC Bank. Kerjasama strategik ini mencerminkan keyakinan sektor perbankan terhadap potensi aset digital dalam mempelbagaikan pilihan pelaburan dan memperkukuh kecairan pasaran modal masa hadapan.