Shopee bersama sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini telah melancarkan NADI Usahawan@Shopee untuk menyokong lebih 100 usahawan luar bandar selama 6 bulan dalam perkasakan pengetahuan perniagaan mereka dalam arena ekonomi digital.
Ini sekaligus melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal untuk membina sumber pendapatan yang mampan. Melalui aliran ini, peserta berpotensi menjana pendapatan bulanan sehingga RM10,000 menerusi pelbagai aktiviti perniagaan digital seperti mengurus kedai dalam talian di Shopee, menjana komisen dalam program afiliasi melalui penciptaan kandungan dan promosi produk, serta menawarkan perkhidmatan komuniti sebagai pengendali Pusat Pengambilan Sendiri Shopee.
Sejak diperkenalkan secara awal pada Februari 2026, peserta telah memulakan latihan siri webinar anjuran Shopee University. Bagi memperluas jangkauan ini, program ini akan diteruskan ke komuniti tempatan melalui siri jelajah di pusat NADI di seluruh negara, dan diakhiri dengan majlis penutup bagi meraikan pencapaian kohort tersebut.
Dengan NADI Usahawan, para peserta akan didedahkan kepada aspek jualan digital, pemasaran dalam talian, penghasilan kandungan, penstriman langsung serta penggunaan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mereka. Shopee juga akan menyediakan sokongan bernilai lebih RM3 juta merangkumi keterlihatan platform, sumber pemerkasaan penjual serta penggunaan alat AI.