Biarpun kadar pengangguran Malaysia kini merekodkan paras terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu pada 2.9% – kedudukan ini tidak menafikan masih ramai penduduk negara yang terpinggir daripada pasaran kerja.
Memahami kelompongan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang khas di Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan pihaknya kelak akan perkenal langkah sokongan tambahan khusus untuk membantu graduan dan pemegang diploma yang masih belum mendapat peluang penempatan pekerjaan di pasaran semasa.
Inisiatif ini antaranya akan melibatkan kerjasama strategik bersama pihak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membuka lebih banyak ruang kerjaya buat kumpulan yang berkaitan. Selain usaha tersebut, kerajaan juga tampil dengan inisiatif suntikan dana RM5 bilion buat PMKS dan memberi kelonggaran e-invois kepada peniaga jualan bawah RM5 juta serta pengecualian duti import pada tindakan pengimportan semula ke atas barangan buatan Malaysia yang terjejas kesan konflis di Asia Barat.