Artikel

Lebih 160,000 Pekerja Asing Di Malaysia Kini Menerima Gaji – Menerusi TNG eWallet

Hasil kelulusan yang diraih pada Ogos 2024, kini lebih 160,000 pekerja asing di Malaysia telah menerima akses pembayaran gaji menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) pada pasaran kerja negara. Jelas notis Touch ‘n Go Digital (TNG Digital) hari ini, sepanjang tahun 2025 sahaja sejumlah RM4.8 bilion direkodkan agihan gaji pada tahun tersebut.

Buat pengetahuan, akses ini membolehkan pekerja asing di Malaysia untuk membuka akaun TNG eWallet tanpa perlu membuka akaun bank konvensional. Yang mana mereka boleh menggunakan nombor akaun DuitNow untuk menerima wang, membuat pembelian, serta menggunakan kad Visa TNG eWallet untuk pengeluaran tunai di ATM.

Dengan kelebihan tersebut, TNG Digital menjangkakan akses ini akan terus memanfaatkan lebih ramai pihak. Terbaharu, KK Mart kini menyertai kerjasama tersebut dengan membolehkan akses tersebut diraih menerusi sektor peruncitan. Melalui integrasi ini, pekerja migran KK Mart kini mempunyai akses masa nyata yang selamat kepada pendapatan pekerja asing. Malah akses ini turut membolehkan kumpulan pekerja meraih perkhidmatan kiriman wang ke lebih 50 buah negara.

Bagi pihak KK Mart, langkah ini membantu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pengendalian tunai, dan memastikan pematuhan terhadap amalan pekerjaan yang bertanggungjawab.