Artikel

Pulau Langkawi: Cadangan Kembalikan Status Bebas Cukai Sepenuhnya Kini Diteliti

Selari dengan objektif merancakkan semula sektor pelancongan di Pulau Langkawi, kerajaan memaklumkan pihak pentadbiran akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula status bebas cukai sepenuhnya di pulau peranginan tersebut.

Semakan itu sebagaimana yang dititah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada kerajaan, dilihat wajar bagi membantu meningkatkan semula prestasi aktiviti ekonomi Langkawi pada pasaran semasa.

Ketika ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada laporan memaklumkan pihaknya menerusi Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti pertimbangan tersebut dan menilai pendekatan terbaik untuk membantu Langkawi meningkatkan semula perolehan lokasi tatkala berdepan kenaikan kos pada pasaran semasa.

Buat pengetahuan umum, sebelum ini Langkawi sememangnya memiliki status bebas cukai sepenuhnya namun perubahan berlaku pada tahun 2021 apabila terdapat penggenaan cukai ke atas barangan tertentu seperti tembakau dan rokok di semua zon bebas cukai. Tambahan kenaikan kos serta persaingan dengan destinasi lain dilihat telah memberi kesan mendalam ke atas prestasi Langkawi – yang sekali gus menjejaskan jumlah kunjungan pelancong.