Artikel

Jabatan Perbendaharaan AS Beri Amaran – Institusi Kewangan Global Berdepan Sekatan Jika Sokong Iran

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran menyeluruh kepada semua institusi kewangan global, menyatakan kesediaan untuk mengenakan sekatan sekunder ke atas mana-mana entiti yang didapati menyokong aktiviti ekonomi Iran.

Melalui makluman di laman X, AS kini bergerak lebih agresif dengan pendekatan tekanan maksimum memandangkan fasa rundingan masih gagal mencapai penyelesaian.

Sebelum ini, AS memberikan kebenaran khas jangka pendek selama 30 hari untuk menyelesaikan penjualan minyak Iran yang terkandas di laut yang dianggarkan mencecah 140 juta tong. Namun, tempoh kebenaran itu akan tamat pada 19 April ini dan AS mengesahkan ia tidak akan diperbaharui sama sekali. Ini bermakna, selepas tarikh tersebut mana-mana urusan melibatkan minyak tersebut akan dianggap sebagai pelanggaran sekatan antarabangsa.