Artikel

AmBank Perluas Sokongan Apple Pay – Buat Pemegang Kad Debit Rangkaian PayNet

AmBank dan PayNet hari ini mengumumkan pengguna kini boleh memautkan kad debit AmBank ke Apple Pay untuk transaksi melalui rangkaian MyDebit. Inisiatif sulung ini bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah berperanan penting dalam mengekalkan aliran trafik pembayaran di atas landasan domestik Malaysia bagi menyokong ekosistem kewangan tempatan.

Ini bermakna pelanggan boleh membuat pembayaran tanpa sentuh dengan mudah di kedai, dalam aplikasi mahupun di laman rasmi dengan menggunakan peranti iPhone, Apple Watch, iPad, dan Mac.

Bersama akses tersebut, penggunaan Apple Pay dijamin selamat kerana setiap transaksi memerlukan pengesahan melalui Face ID, Touch ID, atau kod laluan peranti, serta kod keselamatan dinamik yang unik. Privasi pelanggan turut terjaga kerana nombor kad sebenar tidak disimpan pada peranti atau pelayan Apple sebaliknya, sistem menggunakan Nombor Akaun Peranti yang disulitkan. Untuk mula menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu menambah kad MyDebit AmBank melalui aplikasi Wallet pada iPhone atau melalui aplikasi AmOnline.