Artikel

Elaun Cuti Bersalin Kini Diteliti – Dijangka Manfaat Lebih 100,000 Ibu Di Malaysia

Memahami wanita tidak hanya menyumbang peranan mereka dalam arena ekonomi negara, tetapi turut menjadi pemacu kepada generasi muda – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini sedang meneliti cadangan beri elaun bantuan bersalin menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sekiranya ia direalisasikan, bantuan ini dijangka bakal memberi manfaat besar kepada lebih 100,000 ibu di seluruh Malaysia, sekali gus mengukuhkan hak kebajikan pekerja berstatus keluarga.

Walaupun masih di peringkat penelitian awal, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha holistik kerajaan untuk mewujudkan ekosistem pasaran kerja yang lebih inklusif. Selain elaun tersebut, kerajaan turut memfokuskan kepada pelaksanaan Indeks Tempat Kerja Mesra Keluarga, perluasan integrasi khidmat rawatan, serta akses perlindungan insurans dan insentif cukai yang lebih baik. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memastikan keseimbangan antara produktiviti kerjaya dan tanggungjawab domestik pekerja dapat dicapai dengan lebih efektif.

Sebagai pelan jangka masa panjang, Malaysia turut menyasarkan penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama menjelang tahun 2030. Pusat ini akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh bagi menangani isu kesuburan dalam kalangan rakyat, mencerminkan komitmen negara dalam mendepani cabaran demografi masa hadapan.