Artikel

BNM Denda Bank Rakyat RM1 Juta – Gagal Patuhi Standard Keselamatan Siber, Data Pengguna

Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat telah dikenakan denda RM1 juta berikutan gagal mematuhi standard pematuhan keselamatan siber dan tahap perlindungan data pelanggan yang lemah.

Kompaun itu dikenakan pada 20 Januari 2026 lalu, di mana ciri keselamatan siber Bank yang tidak menepati piawaian yang digariskan di bawah Dokumen Dasar Pengurusan Risiko Teknologi sementara perlindungan data pelanggan pula tidak memenuhi keperluan yang dikehendaki pada Dokumen Dasar Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan.

Perihal ini dikesan susulan telah berlakunya satu insiden keselamatan siber melibatkan pelaku ancaman luar yang telah meraih akses tanpa kebenaran pada infrastruktur teknologi Bank Rakyat. Ketidakpatuhan itu berpunca daripada kawalam keselamatan siber serta respons insiden yang tidak memadai.

Maka hasil pemantauan BNM secara berkala, Bank Rakyat telahpun menambahbaik keperluan ciri sedemikian sebagaimana yang dilaraskan dan telah melunaskan denda tersebut pada 26 Januari 2026.