Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu telah mengeluarkan dokumen dasar Kerangka Kadar Rujukan (RRF) yang disemak semula bagi memastikan penyampaian dasar kewangan negara lebih berkesan dan telus kepada rakyat – iaitu pada pinjaman kadar terapung melibatkan perumahan, perniagaan dan sebilangan kontrak pinjaman peribadi.

Berlandaskan semakan semula itu, untuk fasa pertama 1 Julai 2026, peraturan ini mewajibkan institusi perbankan untuk bertindak lebih pantas dalam menyelaraskan perubahan kadar rujukan kepada jumlah ansuran bulanan bersama pelanggan dalam tempoh 60 hari. Langkah ini bertujuan memastikan sebarang kenaikan atau penurunan kadar faedah pasaran dapat dicerminkan dengan segera dalam akaun pinjaman atau pembiayaan kadar terapung pengguna.
Selain perlu bertindak pantas, BNM turut memperketatkan piawaian penjelasan maklumat demi menjaga kepentingan para pengguna. Di mana bank tidak lagi boleh memberikan makluman ringkas, sebaliknya wajib menghantar notifikasi yang jelas dan terperinci sekiranya terdapat perubahan pada bayaran bulanan atau tempoh pembiayaan.
Notis tersebut sebagaimana yang dilampirkan pada paparan contoh dibawah – perlu mengandungi penjelasan mendalam, termasuk pecahan pengiraan yang terlibat, supaya pengguna memahami sepenuhnya mengapa dan bagaimana jumlah komitmen bulanan mereka berubah.

Pada sudut operasi pula, dokumen ini turut menekankan tanggungjawab tadbir urus yang lebih tegas di peringkat pengurusan tertinggi bank. Setiap bank diwajibkan untuk mengintegrasikan prinsip layanan adil kepada pelanggan ke dalam polisi dalaman serta proses semakan ansuran mereka. Ini bagi memastikan wujudnya penyeliaan yang rapi agar tidak berlaku kesilapan atau amalan yang tidak konsisten yang boleh membebankan peminjam di masa hadapan.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pemahaman pengguna berhubung kadar pinjaman, malah mengukuhkan tahap keyakinan terhadap kualiti sistem kewangan di Malaysia. Pelaksanaan ini untuk makluman akan dilakukan secara berfasa, di mana ketelusan maklumat bermula pada Julai ini, manakala sistem penyampaian notis yang lebih canggih dan automatik disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2 Januari 2028 kelak.
Oleh itu, pengguna dinasihatkan agar sentiasa peka dengan sebarang perubahan ansuran masing-masing. Sekiranya anda tidak menerima notis yang lengkap atau telus, anda mempunyai hak untuk mengemukakan aduan kepada pihak BNM bagi memastikan pihak bank kekal bertanggungjawab terhadap piawaian baharu ini.