Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan bahawa setakat ini tiada sebarang pakej rangsangan ekonomi akan diperkenalkan kepada rakyat berikutan konflik geopolitik semasa.
Keputusan yang dikongsikan pada sidang Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) hari ini, diteliti susulan konflik terlibat diperhatikan masih bersifat jangka pendek dan belum memerlukan campur tangan ekonomi berskala besar.
Mengulas mengenai kebimbangan impak terhadap kos sara hidup, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa keterjaminan bekalan minyak negara masih berada dalam keadaan terkawal. Berdasarkan semakan terkini dengan pihak Petronas, bekalan produk petroleum negara disahkan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik sekurang-kurangnya sehingga Mei kelak.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk mengambil kira trend perjalanan rakyat pada musim perayaan. Langkah ini bagi memastikan permintaan terhadap bahan api yang kebiasaannya meningkat pada waktu puncak dapat dipenuhi tanpa gangguan, sekali gus mengekalkan kestabilan ekonomi domestik tanpa keperluan pakej bantuan tambahan buat masa ini.