Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terus kekal di paras 2.75% – sebagaimana yang dilaraskan sejak Julai 2025.
Keputusan yang dicapai menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ini didasari akan pengukuhan pasaran semasa – yang mana pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari. Namun, konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik.
Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global.
Setakat ini ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negeri yang giat. Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
Berbalik kepada ketidaktentuan konflik dunia ketika ini, BNM akan memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri bagi memastikan tidak menjejaskan kepentingan Malaysia di pasaran semasa.