Isu obesiti dan berat badan berlebihan kini menjadi tumpuan utama di Malaysia memandangkan lebih 50% penduduk dewasa sudah pun berdepan masalah tersebut. Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah ancaman krisis ini terhadap kumpulan kanak-kanak — di mana statistik menunjukkan lebih 2.85 juta kanak-kanak di negara kita kini telah terkesan.
Berdasarkan laporan Atlas Obesiti Sedunia 2026, pecahan data menunjukkan seramai 866,000 kanak-kanak (5-9 tahun) berdepan isu obesiti, manakala 1.992 juta lagi melibatkan remaja (10-19 tahun).

Trend ini menunjukkan peningkatan konsisten sejak tahun 2000. Dengan menjelang 2040, dijangkakan sekitar 24.3% kanak-kanak di Malaysia akan menghidap obesiti, manakala 20.8% lagi mengalami berat badan berlebihan.
Jika tidak dikekang segera, persekitaran ini bakal melahirkan generasi masa depan yang berdepan masalah kesihatan kronik. Dengan menjelang 2040, seramai 305,000 kanak-kanak dijangka menghidap darah tinggi dan 382,000 kanak-kanak pula berisiko menghidap penyakit jantung.

Secara menyeluruh krisis ini bukan sekadar isu kesihatan individu semata tetapi ia turut memberi kesan langsung kepada prestasi ekonomi negara. Beban kewangan untuk merawat komplikasi obesiti dilihat berupaya melonjak drastik, sekali gus mengurangkan produktiviti tenaga kerja nasional. Jadi tanpa tindakan drastik, Malaysia bukan sahaja kehilangan modal insan yang cergas, tetapi juga terpaksa menanggung kos perubatan berbilion ringgit yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan masa depan negara.