Tahun 2025 memperlihatkan aliran perbelanjaan subsidi diesel di Malaysia lebih terkawal – apabila jumlah perbelanjaan berkurang kepada RM6.2 bilion berbanding RM10.1 bilion pada 2024. Rekod ini sekali gus memberi penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada pentadbiran negara.
Penjimatan itu jelas Kementerian Kewangan (MOF) dicapai hasil tindakan penyasaran semula subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0).
Dengan fokus sedemikian, ia secara terus membantu negara mengekang ketirisan hasil aktiviti penyeludupan dan penggunaan dari sektor perniagaan yang tidak layak.
Bersama penjimatan tersebut, hasil ini dimanfaatkan negara dengan mengembalikan semula perolehan itu kepada segmen pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sosial di Malaysia – antaranya menyokong dana Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan jumlah RM800 juta.