Lembaga Tabung Haji (TH) kini mula memperlihatkan perubahan logo kumpulan kepada identiti digital yang lebih segar. Perubahan tersebut turut didapati pada rekaan antaramuka laman rasminya.
Berdasarkan semakan Rnggt, perubahan ini telah mula diterapkan pada awal Januari lalu dan ia dilihat sejajar dengan matlamat TH dalam melaksanakan pembaharuan pada jenama kumpulan. Mengikut notis pada laman rasmi TH, reka bentuk logo baharu ini diinspirasikan oleh lafaz Talbiyah “Labbaik Allahumma Labbaik”, yang membawa erti menyahut panggilan Allah pada tuntutan ibadah.
Untuk makluman umum, logo sebelum ini menggunakan slogan “Hayya ‘Alal Falah” iaitu bermakna marilah menuju kejayaan. Maka dengan perubahan itu, aspirasi ini melambangkan kesediaan dan keikhlasan setiap pendeposit yang memulakan perjalanan haji, serta komitmen TH untuk menyambut dan memudahkan perjalanan jemaah ke Tanah Suci.
Selain perubahan slogan pada logo, TH turut memperlihatkan evolusi warna dengan menggunakan hijau neon pada paparan logo baharu.
