Artikel

Hotel Di Malaysia Digesa Selaras Masa Daftar-Masuk – Tawar Waktu Penginapan 23 Jam Buat Pengguna

Selari dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, pengusaha hotel kini digesa untuk menawarkan tempoh penginapan sekurangnya 23 jam kepada pengguna di Malaysia.

Misalnya penawaran waktu daftar masuk sekitar 2.00 petang dan keluar jam 1.00 petang.

Perihal ini jelas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada notis Parlimen dilihat tidak sekadar melaras kembali hak pengguna tetapi turut meningkatkan nilai wang dalam mengukuhkan pengalaman pelancong dan menjadikan kemudahan penginapan di Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dan untuk memastikan pendekatan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh – MOTAC kini sedang mempergiatkan rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri untuk meneliti kesesuaian piawaian masa operasi ke dalam syarat pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dengan usaha tersebut ia selari dengan kajian semula Akta Industrial Pelancongan 1992 [Akta 482] yang bertujuan mengukuhkan punca kuasa MOTAC serta kualiti perkhidmatan premis penginapan negara.