Memahami kepentingan pengguna dalam melunaskan tanggungjawab zakat – AEON Bank kini mengumumkan penambahan ciri pembayaran zakat pada aplikasi bank digital kumpulan, yang sekali gus membolehkan semua pengguna beragama Islam menunaikan kewajipan mereka pada pembayaran zakat fitrah sempena bulan Ramadan ini.
Melalui kemas kini terbaharu ini, pengguna tidak lagi perlu beralih ke platform pihak ketiga atau melawati kaunter fizikal untuk melakukan transaksi. Integrasi ini membolehkan pembayaran zakat dilakukan secara terus daripada baki akaun Savings Account-i, yang mana status transaksi akan direkodkan secara masa nyata bagi memudahkan urusan rujukan dan simpanan rekod penyata kewangan pengguna di masa hadapan.
Untuk peringkat awal, ciri zakat ini menampilkan dua pilihan agensi sahaja iaitu Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) dan Zakat Selangor sebelum diperluaskan kepada pilihan agensi pungutan zakat yang lain bersama sokongan pemungut sah Tulus Digital Sdn Bhd. Selain zakat fitrah, pengguna juga turut boleh melunaskan tanggungjawab pada zakat pendapatan, perniagaan, emas, KWSP, pertanian, ternakan, saham dan perak.
Maka untuk tindakan lanjut semua pihak boleh memuat turun aplikasi AEON Bank dan klik pada bahagian tetapan untuk mengetahui lanjut ciri zakat pada aplikasi bank digital ini.