Tindakan pelaksanaan subsidi secara berperingkat dijangka akan memberi manfaat kepada Malaysia pada tahun ini – antaranya adalah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 menerusi Budi Madani (BUDI95) yang dilihat berupaya membantu kerajaan meraih penjimatan sekurangnya RM2.5 bilion pada 2026.
Jangkaan itu menurut makluman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Parlimen pagi ini secara langsung akan membantu negara mengimbangi aliran perbelanjaan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Seperti yang umum ketahui BUDI95 membolehkan seluruh rakyat Malaysia meraih harga RON95 bersusidi pada harga RM1.99 seliter manakala penduduk asing dan sektor komersial pula kekal membayar pada harga pasaran semasa.
Setakat ini, kerajaan memberi had 300 liter sebulan pada penawaran subsidi tersebut dan data semasa menunjukkan purata penggunaan BUDI95 sekitar 100 liter sebulan dan 90% pengguna tidak menggunakannya lebih daripada 200 liter sebulan.
Akses ini dilihat tidak sekadar membantu meringankan kos sara hidup rakyat negara tetapi turut menyokong kerajaan membendung aktiviti penyeludupan minyak di pasaran semasa secara berkala.