Dalam langkah strategik untuk merangka masa depan infrastruktur pembayaran antarabangsa yang lebih seimbang, Nexus Global Payments secara rasminya mengumumkan pelantikan Payments Network Malaysia (PayNet) dan Network for Electronic Transfers Singapore (NETS) sebagai pengendali teknikal baharu.
Pemilihan kedua-dua gergasi pembayaran serantau ini didorong oleh rekod pencapaian yang kukuh serta kecekapan rangkaian pembayaran positif di pasaran masing-masing. Menerusi lantikan tersebut, kedua rangkaian ini akan bekerjasama rapat dengan dua firma global iaitu Amazon Web Services (AWS) dan Endava untuk membangunkan reka bentuk teknikal dan pembangunan plaform Nexus.
Sebagai perincian PayNet dan NETS akan bertanggungjawab membina, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur Nexus bagi memastikan pematuhan piawaian global serta menjamin keselamatan siber dan ketahanan operasi. Malah ia juga menyelaras penyertaan entiti yang bertanggungjawab ke atas skim pembayaran segera domestik yang disambungkan ke Nexus untuk membolehkan bank dan entiti bukan bank menjadi sebahagian daripada rangkaian ini dengan lancar.
Berdasarkan komitmen itu, pembangunan teknikal dijadualkan bermula awal tahun 2026 ini dengan sasaran beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.