Artikel

Permintaan Tiket Raya Ke Pantai Timur Kini Melonjak 30%, Pengguna Digesa Tempah Awal – redBus

Permintaan Tiket Raya Ke Pantai Timur Kini Melonjak 30%, Pengguna Digesa Tempah Awal – redBus

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026 tidak lama lagi, redBus – medium tempahan tiket atas talian kini menggesa pengguna untuk merancang dan laksana tempahan awal susulan peningkatan permintaan mendadak sepanjang musim perayaan.

Berdasarkan pengamatan data sebelum ini, dijangka tempahan tiket untuk Tahun Baru Cina akan meningkat sekitar 40% sementara Hari Raya Aidilfitri pula sehingga 60% berbanding perjalanan biasa. Peningkatan permintaan ini sekali gus tidak dapat ditampung dan menyebabkan sebahagian pengguna gagal mendapatkan tiket ketika musim puncak.

Saranan tempahan awal ini bukan sekadar untuk membantu pengguna mendapatkan tiket perjalanan tetapi trend semasa menunjukkan lebih ramai pengguna kini bertindak sedemikian. Mengikut data redBus, terdapat pengguna telah membuat tempahan awal bagi Tahun Baru Cina 2026 seawal 16 Oktober 2025, sementara tempahan Hari Raya Aidilfitri 2026 pula terdapat pengguna telah membuat tempahan tiket seawal 29 November 2025. Rekod ini jelas menunjukkan sebilangan pengguna telah membeli 4 bulan lebih awal tiket perjalanan sempena perayaan tahun ini. 

Setakat ini sahaja, beberapa laluan utama telah mencatatkan lonjakan tempahan melebihi 30% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Bagi perayaan Tahun Baharu Cina, laluan paling sesak melibatkan perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur serta hab utama di Johor Bahru menuju ke KLIA, Muar, dan Kluang.

Manakala bagi Hari Raya Aidilfitri, trend yang sama dapat dilihat bagi laluan pulang ke Pantai Timur, khususnya yang menuju ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Oleh itu, bagi menyemak ketersediaan tiket perjalanan – orang ramai disarankan untuk merujuk pada aplikasi dan laman rasmi redBus untuk ketahui laluan serta tarikh perjalanan yang diingini ketika musim perayaan kelak.