Artikel

14,858 Individu Dikesan Tidak Lapor Cukai, Libat Simpanan RM10 Bilion Di Luar Negara – LHDN

Dengan kerjasama lebih 100 buah negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini perkukuhkan pematuhan cukai negara melalui pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa bagi menangi isu pelarian cukai rentas sempadan.

Hasil daripada langkah itu, seramai 14,858 pemastautin cukai Malaysia dikesan miliki akaun kewangan luar negara dengan jumlah keseluruhan melebihi RM10 bilion. Namun individu ini didapati gagal mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). Antara lokasi kewangan yang dikenalpasti termasuklah di Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.

Maka untuk fasa awal ini, LHDN memaklumkan pihaknya telah menghantar notis peringatan kepada individu terlibat melalui pendekatan galakkan pematuhan secara sukarela. Dengan pendekatan itu, ia memberi ruang kepada pemastautin cukai untuk laksana semakan semula dan isytiharkan pendapatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Oleh itu semua yang terlibat diminta melaporan sumber luar negara mereka secara sukarela dalam masa terdekat. Tindakan ini penting bagi mengelakkan sebarang penalti dan perundangan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dikenakan kelak. Sebarang maklumat lanjut semua pihak berkaitan boleh merujuk pada laman rasmi LHDN atau kunjungi cawangan berdekatan.