Artikel

Peraturan Baharu Sekat Warga Asing Beli RON95 – Akan Diperkenalkan 1 April 2026 Ini

Menyedari masih terdapat kelompongan pada peraturan semasa – kelak sebuah peraturan baharu akan diperkenalkan Malaysia bagi memastikan warga asing tidak memiliki peluang meraih manfaat petrol RON95. 

Penambahan peraturan ini menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada sidang Parlimen hari ini – adalah untuk mengetatkan penguatkuasaan semasa – yang mana hanya melarang penjualan RON95 ke atas kenderaan berdaftar asing, yang dilihat mengehadkan tindakan penguatkuasaan kepada pengendali stesen minyak sahaja.

Melalui peraturan baharu yang sedang dirangka di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan ini, menjelaskan larangan tersebut kelak akan lebih meluas. Tidak hanya melibatkan penjualan tetapi turut ke atas tindakan pembelian. Merangkumi pihak yang membeli, pemilik atau pemandu yang terlibat akan dikenakan tindakan.

KPDN menyasarkan peraturan baharu ini dimuktamadkan dalam masa terdekat dan dikuat kuasakan bermula 1 April 2026 kelak.