Artikel

18 Bank Kini Sertai Fasa Kedua Ujian Integrasi MyDigital ID – MOF

Dengan memiliki sekitar 8.7 juta pengguna pada rekod semasa – MyDigital ID kini dilihat terus meluaskan dan mengukuhkan manfaat peranannya bersama perkhidmatan utama di Malaysia. Terbaharu, 18 institusi perbankan kini dimaklumkan menyertai Sandbox Fasa Kedua, iaitu fasa ujian integrasi MyDigital ID pada perkhidmatan mereka. 

Jelas Kementerian Kewangan (MOF) pada notis lisan di Parlimen, ketika ini pihaknya bersama Bank Negara Malaysia (BNM), MyDID dan NACSA sedang laksana integrasi MyDigital ID secara berperingkat dan tersusun pada sektor kewangan negara. Sandbox Fasa Kedua memperlihatkan sejumlah 18 bank telah memaparkan komitmen sokongan pada tindakan tersebut.

Sebagai perincian, 10 bank kini sedang laksana proses integrasi, 2 bank pula telah melengkapkan proses integrasi sementara 6 bank lagi masih di peringkat pengujian akhir. Menerusi perluasan akses digital ini, MOF optimis langkah ini akan membantu sektor kewangan meningkatkan kecekapan pengesahan identiti, mengurangkan risiko penipuan dan mengukuhkan pengalaman pengguna ketika menguruskan transaksi.

Dengan tindakan itu, proses ini dijangka akan berakhir pada Mac 2026 dan setelah itu semua pihak berpotensi melihat pelaksanaan penuh, lebih meluas dilaksanakan – tertakluk kepada kesiapsiagaan institusi perbankan yang terlibat.

Sandbox Fasa 2 – sedang dilaksanakan di mana menguji teknologi MyDigital ID iaitu e-pengesahan yang merupakan langkah mengesahkan identiti pengguna ketika membuka akaun baharu atau laksana transaksi perbankan. Akses ini akan mengukuhkan penyelesaian e-KYC vendor sedia ada melalui pengesahan nama pengguna, nombor kad pengenalan dan imej swafoto menerusi perbandingan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).