Memahami kegusaran sebilangan pihak terhadap kepesatan lambakan produk antarabangsa seperti Mixue, Chagee, dan Auntea Jenny, situasi ini dilihat berpotensi mengancam kedudukan peniaga tempatan akibat penguasaan pasaran yang agresif oleh jenama-jenama tersebut.
Mengambil kira isu yang dibangkitkan pada sidang Parlimen hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang menilai semula peraturan bagi jenama makanan dan minuman (F&B) antarabangsa di Malaysia.
Menurut Menteri KPDN, semakan itu akan diimbangi dengan sasaran pembangunan perniagaan domestik serta langkah mempromosikan barangan buatan Malaysia. Usaha ini bertujuan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih adil, memperkukuh perlindungan kepentingan pengguna, serta meningkatkan kemampuan peniaga tempatan untuk bersaing secara sihat di pasaran semasa.
Untuk rekod, sejak tahun 2020 menerusi Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Pengedaran di Malaysia, syarikat asing yang ingin memasuki pasaran tempatan wajib memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta. Selain itu, entiti berkenaan perlu diperbadankan di dalam negara serta mematuhi had kategori premis yang ditetapkan.
Tetapi memandangkan kemasukan jenama global ini berlaku terlalu pesat sejak garis panduan tersebut diperkenalkan empat tahun lalu, KPDN melihat semakan baharu harus disegerakan bagi melindungi hak dan kelangsungan pemain industri tempatan.
Melalui semakan semula ini, kehadiran jenama antarabangsa diharap tidak lagi dilihat sebagai ancaman, sebaliknya menjadi pemangkin kepada jenama tempatan untuk mempertingkatkan piawaian serta daya saing mereka di pasaran hadapan.