Pos Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, hari ini melakar sejarah baharu dalam industri logistik tempatan dengan melancarkan Zelos (Zelos10), kenderaan autonomi (AV) pertama yang beroperasi di pasaran Malaysia.
Inisiatif bersama rakan strategik Autonomous Logistic Solutions (ALS) ini dijelaskan dapat membantu Pos Malaysia mengurangkan kos operasi jangka panjang serta meminimumkan risiko kesilapan manusia.
Dengan penggunaan Zelos bersama teknologi pemanduan autonomi Tahap 4 (High Automation), kenderaan ini dilihat mampu mengemudi jalan raya secara mandiri tanpa interaksi manusia dalam zon penghantaran yang ditetapkan.
Dan bagi memastikan keselamatan dan ketepatan navigasi masa nyata, Zelos dijelaskan disokong sepenuhnya oleh rangkaian 5G daripada Digital Nasional Berhad (DNB). Kependaman rendah (low latency) rangkaian 5G membolehkan kenderaan dengan kapasiti muatan sehingga 1,000kg ini berkomunikasi dengan pusat kawalan secara pantas, memproses data deria dengan segera dan bertindak balas terhadap keadaan trafik secara fleksibel.
Selain Malaysia, Zelos telahpun meluas pada pasaran lain dengan mengendalikan lebih 15,000 unit operasi di pasaran global termasuk China, Singapura, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).