Fasset, platform perbankan dan pelaburan global yang berpangkalan di Dubai kini secara rasminya melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KAF Digital Bank, Rafiza Ghazali, sebagai Pengarah Urusan Perbankan Pengguna. Lantikan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2026.
Pelantikan ini sejajar dengan persediaan Fasset untuk melancarkan bank digital Islam pertamanya di Malaysia menggunakan stablecoin (mata wang digital stabil) berlandaskan prinsip patuh syariah. Fasset telah pun mendapat kelulusan prinsip daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan untuk memulakan perkhidmatan tersebut sejak Oktober 2025 lalu.
Dengan kepakaran lebih 20 tahun dalam arena kewangan, Rafiza dijangka dapat memperkukuhkan kedudukan Fasset dalam membina ekosistem perbankan Islam digital di peringkat global. Sehingga kini, aplikasi Fasset telah dimuat turun sekitar 1 juta kali dengan nilai transaksi tahunan mencecah $12 bilion, serta pangkalan pengguna merangkumi lebih 1,000 PKS.