Penyelidikan terbaharu daripada EY mendedahkan bahawa perniagaan di Malaysia kini berdepan perubahan penggunaan tenaga yang besar, di mana 91% syarikat menjangkakan penggunaan elektrik akan melonjak menjelang 2028.
Peningkatan ini mengikut notis yang dikongsikan bersama Rnggt, didorong akan kepesatan pendigitalan, teknologi kecerdasan buatan (AI), serta peralihan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di pasaran Malaysia. Situasi ini bermakna cabaran segmen tenaga kerja juga akan menjadi tidak menentu, biarpun begitu sekitar 82% perniagaan optimis untuk merealisasikan agenda pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Sebagai langkah proaktif, majoriti syarikat (83%) sudah merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam menambahbaik infrastruktur tenaga, manakala lebih separuh daripada mereka mula meneroka peluang untuk menjana tenaga sendiri melalui panel solar bumbung serta menjual lebihan tenaga tersebut kembali kepada grid nasional.
Tindakan ini jelas EY, bertepatan dengan matlamat di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan inisiatif Solar ATAP 2026 yang meletakkan peralihan tenaga sebagai keutamaan negara.
Secara keseluruhannya, peralihan ini bukan sahaja menjanjikan kualiti udara yang lebih bersih dan infrastruktur EV yang lebih baik bagi rakyat, malah meletakkan tenaga sebagai aset persaingan yang kritikal. Mengambil kira jangkaan permintaan elektrik negara yang bakal meningkat sehingga dua kali ganda menjelang 2050, kerjasama erat antara pihak industri, pembekal tenaga, dan penggubal dasar adalah kunci utama untuk memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dan kompetitif dalam ekonomi hijau masa hadapan.