Artikel

Elak Harga Rumah Melonjak, Pengilang Tempatan Disaran Kawal Kenaikan Kos Binaan – REHDA

Berikutan terdapat jangkaan berlakunya kenaikan harga hartanah disusuli tekanan kos binaan, pengilang tempatan Malaysia kini disarankan untuk mengawal kenaikan kos binaan untuk tidak mempengaruhi kenaikan harga rumah di Malaysia. 

Saranan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada sidang pra pelancaran Siri CEO Institut REHDA 2026 hari ini bertujuan untuk menyeimbangkan harga pasaran tanpa membebankan pengguna semasa pada tahun ini.

Menjawab persoalan berhubung kenaikan kos pembinaan yang dijangka berlaku pada tahun ini – REHDA meramalkan hanya kenaikan kecil sahaja berlaku sekitar 2%. Namun kenaikan itu tertakluk kepada pertimbangan kumpulan pemaju berlandaskan model perniagaan mereka. Ini kerana bukan mudah untuk melaras naik sesebuah kos, setiap tindakan memerlukan pertimbangan pihak berkepentingan dan perbankan untuk meraih persetujuan bersama.

Malah terdapat kumpulan pemaju yang turut memilih menyerap sebahagian kenaikan kos. Tindakan ini bagaimanapun kekal tertakluk kepada kategori hartanah yang terlibat berdasarkan lokasi jualan dan tahap kos sara hidup di persekitaran tersebut.