Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini secara rasmi mengumumkan perubahan pada sebilangan produk dan dasarnya yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Langkah ini untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang cukup bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Berikut adalah beberapa perkara utama yang akan memberi kesan kepada dompet dan simpanan hari tua para pencarum:
1. Pengeluaran Haji Dinaikkan ke RM10,000
Bagi ahli yang mendapat tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji, anda kini mempunyai lebih fleksibiliti kewangan. Had pengeluaran daripada Akaun Sejahtera dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000. Menariknya, proses permohonan juga dipermudah kerana syarat pengesahan baki akaun Tabung Haji kini dimansuhkan.
2. Fokus Kepada Pemain Ekonomi Gig (i-Saraan Plus)
Pemandu e-hailing dan p-hailing kini mendapat perhatian khusus. Menerusi i-Saraan Plus, kerajaan menawarkan insentif padanan yang lebih lumayan sehingga RM600 setahun (had seumur hidup RM6,000). Untuk memudahkan urusan, penyedia platform membantu melakukan potongan caruman secara automatik mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemandu sendiri.
3. Perlindungan untuk Suri Rumah Dilanjutkan
Program i-Suri kini dilanjutkan kelayakannya sehingga umur 60 tahun (sebelum ini 55 tahun). Ini bermakna suri rumah mempunyai tempoh lima tahun lebih lama untuk mengumpul simpanan dengan bantuan insentif kerajaan sebanyak 50% daripada jumlah caruman tahunan.
4. Pengenalan Rangka Kerja ‘RIA’
KWSP kini menetapkan pengukuran baharu untuk membantu anda mengetahui sama ada simpanan anda mencukupi atau tidak melalui Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA):
- Simpanan Asas: RM390,000
- Simpanan Mencukupi: RM650,000
- Simpanan Dipertingkatkan: RM1.3 Juta
Selaras dengan ini, bagi mereka yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta, had untuk mengeluarkan lebihan tersebut akan dinaikkan secara berperingkat kepada RM1.1 juta pada 2026 bagi memastikan baki simpanan tetap kukuh.
5. i-Simpan Dan i-Topup Diperkenalkan – Galak Pencarum Buat Simpanan Sukarela
Untuk memudahkan ahli mengingati kemudahan caruman sukarela, KWSP memperkenalkan dua nama komersial:
- i-Simpan: Untuk anda yang ingin mencarum sendiri pada bila-bila masa (Caruman Pilihan Sendiri).
- i-Topup: Untuk mereka yang ingin mencarum lebih daripada kadar potongan gaji biasa (Voluntary Excess).
Pihak KWSP menegaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengimbangi antara keperluan kecemasan masa kini dengan jaminan kewangan selepas bersara. Dengan adanya pengkelasan simpanan seperti RIA, ahli kini mempunyai sasaran yang lebih jelas untuk dicapai sebelum berhenti kerja.
Untuk maklumat lanjut dan senarai soalan lazim (FAQ), ahli boleh melayari laman web rasmi di www.kwsp.gov.my atau hadir ke cawangan KWSP berhampiran.