Artikel

Majikan Di Wilayah Persekutuan Perlu Beri Cuti Ganti – Susulan Pertindihan Cuti Hari Wilayah, Thaipusam 2026

Seperti yang umum sedari, kerajaan Persekutuan kini telah mewartakan Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan bagi 2026 adalah tarikh yang sama iaitu 1 Februari 2026, pada hari Ahad. Susulan pertindihan itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah melampirkan beberapa saranan berhubung pelarasan cuti tersebut.

Di mana, pekerja swasta di bawah majikan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan meraih Cuti Hari Wilayah pada 1 Februari 2026, merupakan hari kelepasan am yang wajib diberikan kepada pekerja selaras seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955. Memandangkan cuti wajib ini jatuh pada hari mingguan, maka majikan terlibat bertanggungjawab untuk memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya pada Isnin 2 Februari 2026.

Manakala, cuti ganti pada Selasa (3 Februari 2026) hanya terpakai kepada syarikat yang menetapkan Hari Thaipusam sebagai cuti am mereka.

Tetapi di bawah seksyen 60D(1A), majikan kekal memiliki pilihan untuk memberi mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti kepada Hari Thaipusam dengan kumpulan pekerja mereka. Tindakan ini adalah tertakluk di bawah persetujuan bersama antara majikan dan pekerja. Pihak pengurusan diingatkan supaya peka terhadap pelarasan ini bagi memastikan kebajikan pekerja terpelihara dan mengelakkan sebarang isu perundangan di bawah Akta 265.