Artikel

China Mahu Perkasa Guna Mata Wang Digital e-CNY, Perkenal Pelan Tindakan Baharu – Pada 2026

Dengan anggaran lebih 200 juta penduduk di China telah menggunakan mata wang digital yuan iaitu e-CNY – kelak pada tahun 2026, dimaklumkan sebuah pelan tindakan untuk perkasakan penggunaan e-CNY akan dilaksanakan oleh pentabdiran China. 

Usaha itu dijelaskan, akan dilaksanakan pada 1 Januari 2026 bagi tujuan memperkasakan pengurusan dan operasi mata wang digital e-CNY.

Menurut makluman kepada laporan Financial News, pengenalan pelan tindakan itu akan menuntut pihak bank membayar faedah ke atas baki digital yuan yang dipegang oleh pelanggan — satu langkah untuk memberi insentif kepada penggunaan mata wang tersebut secara lebih meluas. Disusuli dengan rancangan pentadbiran untuk menubuhkan pusat operasi digital yuan antarabangsa di hab kewangan timur, Shanghai.

Langkah agresif China ini dilihat tidak sekadar perubahan pada pasaran domestik tetapi memberi isyarat akan komitmen mereka untuk mengubah dominasi sistem pembayaran tradisional. Dengan mengalihkan kuasa kawalan data daripada gergasi teknologi kepada bank pusat, China kini berada di barisan hadapan dalam penerapan mata wang digital dunia.