Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan bahawa beberapa operasi di rangkaian lapangan terbang kini berdepan gangguan teknikal susulan terdapat isu pada sistem pemprosesan penumpang global – yang turut menjejaskan banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Gangguan sementara itu menurut notis di laman X memberi kesan kepada kelancaran proses daftar masuk (check-in) dan prosedur naik pesawat (boarding).
Maka bagi meminimumkan impak kepada penumpang, MAHB bersama rakan kongsi syarikat penerbangan telah mengaktifkan prosedur luar jangka bagi memastikan operasi tetap berjalan meskipun dalam keadaan mencabar. Di mana pasukan petugas lapangan terbang telah dikerahkan ke lokasi strategik di terminal untuk membantu mengendalikan penumpang secara manual dan memberikan bantuan teknikal yang diperlukan.
Walaupun sistem pemprosesan utama terjejas, MAHB memaklumkan bahawa kiosk layan diri di terminal masih berfungsi sepenuhnya. Penumpang sangat digalakkan untuk menggunakan kemudahan ini bagi mencetak pas masuk serta tag bagasi bagi mempercepatkan urusan. MAHB akan terus memantau perkembangan gangguan global ini dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran perjalanan semua penumpang.