Landskap hartanah premium di Kuala Lumpur kini dikejutkan dengan transaksi mega, apabila Lendlease dilaporkan akan menjual pegangannya bernilai sekitar RM1.1 bilion dalam The Exchange TRX kepada firma pelaburan Valiram – iaitu kumpulan peruncitan mewah antarabangsa.
Peralihan kepentingan ini secara langsung memperlihatkan pengukuhan kumpulan pada aset hartanah premium di Malaysia.
Menurut laporan TheEdge, urus niaga ini melibatkan pelupusan 40% kepentingan dalam pusat beli-belah The Exchange TRX serta keseluruhan 60% pegangan mereka dalam menara pejabat TRX Campus. Keputusan melepaskan kepentingan ini didasari oleh langkah strategik global kumpulan untuk mengoptimumkan modal dan mengurangkan pendedahan terhadap projek pembangunan berskala besar secara berperingkat.
Biarpun 40% kepentingan dilepaskan, Lendlease kekal menjadi pengurus aset pada kesinambungan pusat membeli-belah mewah itu dengan kepentingan 20% pada segmen peruncitan, 60% pada segmen hotel dan kediaman sementara 40% baki pegangan hab premium itu dimiliki rakan kongsi mereka TRX City, iaitu syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Untuk rekod, firma pelaburan di bawah keluarga Valiram ini merupakan pemegang hak eksklusif bagi pengurusan jenama global seperti Victoria’s Secret, Michael Kors, Tumi, dan Bath & Body Works di pasaran serantau. Dengan perluasan pegangan ini, Valiram bukan sahaja mengukuhkan profil korporat mereka, malah beralih peranan daripada sekadar pengurus jenama kepada pemilik aset hartanah ikonik di hab kewangan Malaysia.