Seperti yang umum ketahui, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan e-Invois secara berperingkat bermula pada 1 Ogos 2024 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang mana fokus diberikan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.
Pelaporan e-Invois membolehkan pengesahan dapat dilaksanakan secara hampir serta-merta serta menjadi platform penyimpanan transaksi bagi urus niaga yang melibatkan Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G).
Maka dengan penerbitan Rangka Kerja Semakan Pematuhan e-Invois (RKe) di portal rasmi LHDN ini ia dilihat dapat memberi perincian lanjut kepada pembayar cukai individu dan perniagaan untuk memahami hak mereka ketika prosedur audit dilaksanakan LHDN setelah pihak ini melaksanakan e-invois.
Apa Tujuan RKe?
Dengan adanya RKe ini – ia akan menggariskan perincian lanjut berhubung hak dan tanggungjawab pegawai pematuhan e-Invois LHDN (PEI), pembayar cukai dan ejen cukai. Secara umumnya, RKe ini bertujuan untuk:
- Membantu Pengawai PEI menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap dan berkesan
- Memastikan pembayar cukai memahami proses kerja pematuhan dan memenuhi tanggungjawab mereka
- Mengingatkan hanya ejen cukai berdaftar sahaja yang dilantik untuk mewakili pembayar cukai dalam proses pematuhan
- Membantu ejen cukai memahami skop tugas dan tanggungjawab mereka
Tindakan Semakan – LHDN Akan Maklum Melalui Surat, Emel 14 Hari Sebelum Lawatan
Bagi kesemua aktiviti audit, LHDNM menjalankan 2 kaedah semakan audit iaitu semakan umum dan semakan menyeluruh sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan dan Majikan (RKACPM). Walau bagaimanapun, bagi tujuan aktiviti semakan pematuhan e-Invois, hanya kaedah semakan menyeluruh sahaja yang terpakai.
Tetapi pembayar cukai jangan risau, untuk tindakan semakan – di bawah rangka ini LHDN memaklumkan pihaknya akan memberi makluman 14 hari sebelum lawatan semakan dijalankan. Di mana makluman itu akan dilaksanakan melalui pemberitahuan Surat Pemberitahuan Lawatan Semakan Pematuhan atau emel pembayar cukai. Di bawah pemberitahuan ini, LHDN akan menjelaskan input tertentu seperti:
- Tarikh lawatan
- Senarai rekod-rekod yang perlu disediakan
- Tahun taksiran / tempoh rekod yang terlibat dengan semakan pematuhan
- Nama Pengawai PEI LHDN
- Jangka masa lawatan
Maka tindakan semakan menyeluruh ini turut dijelaskan akan dijalankan di premis pembayar cukai atau mana-mana tempat yang dipersetujui oleh pembayar cukai dan pegawai PEI LHDN. Dengan persetujuan itu, para pembayar cukai perlu pastikan, ini antara dokumen yang perlu dilampirkan kepada LHDN:
- Rekod invois jualan, resit jualan dan dokumen berkaitan jualan
- Rekod invois belian, borang pesanan dan dokumen berkaitan belian
- Rekod berkaitan pengeluaran nota debit, nota kredit dan nota bayaran balik
- Lain-lain dokumen sumber invois
Namun sekiranya didapati dokumen sedemikian tidak lengkap, usah risau – semakan menyeluruh akan diteliti menerusi rekod bukan perniagaan iaitu penyata bank persendirian, senarai milikan aset dan lain-lain dokumen sokongan.
Apa Hak Pengawai LHDN Ketika Sesi Semakan Rekod e-Invois?
Ketika sesi semakan pematuhan e-Invois dilaksanakan, pastinya akan terdapat pelbagai persoalan akan protokol proses semakan tersebut. Untuk pengawai PEI LHDN mereka miliki beberapa had kebenaran dalam mengakses maklumat pembayar cukai antaranya adalah dibenarkan menyemak rekod kewangan syarikat, perniagaan, lejar transaksi, baucar bayaran, penyata bank, transaksi e-Invois seperti invois, nota debit, nota kredit dan nota bayaran balik.
Tidak hanya itu, pengawai PEI juga dibenarkan mengakses maklumat sekiranya buku dan rekod perakaunan, dokumen kewangan disimpan secara elektronik, pegawai PEI dibenarkan mengakses sistem komputer, server atau gajet serta memuat turun data-data perakaunan tersebut ke dalam cakera padat, pemacu pena (pendrive), cakera keras mudah alih (portable hard disk) atau sebarang media penyimpanan lain.
Menerusi had yang tertakluk di bawah panduan ini, para pembayar cukai diminta peka dan tidak bertindak agresif sekiranya pegawai terlibat meminta akses tersebut. Dengan semakan dan memadankan segala maklumat berkaitan, usaha ini akan memudahkan proses semakan pematuhan e-Invois dicapai.
Pembayar Cukai Boleh Tangguh Ke Lawatan Semakan e-Invois?
Boleh. LHDN pada panduan RKe ini menjelaskan sekiranya Surat Pemberitahuan Lawatan Pematuhan telah dikeluarkan, dan jika pembayar cukai tidak bersedia – kumpulan ini boleh membuat permohonan untuk menangguhkan tarikh lawatan semakan pematuhan atas sebab-sebab yang munasabah dan tidak dapat dielakkan.
Pembayar cukai boleh menghubungi Pengarah Operasi Negeri Seksyen e-Invois dan Audit Majikan atau Pengarah Bahagian Cawangan Khas LHDNM yang berkenaan bagi tujuan pengesahan lawatan semakan pematuhan tersebut.