Artikel

PLUS Malaysia, Korea Expressway Perkukuh Kerjasama – Rangka Pembangunan Lebuh Raya Pintar

Pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia dan Korea Selatan iaitu PLUS Malaysia dan Korea Expressway Corporation (KEC) kini mengukuhkan hubungan strategik dalam merangka membangunkan teknologi lebuh raya pintar di masa hadapan.

Hubungan strategik yang dicapai di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) ini bertujuan merangka laluan bagi inovasi, pertukaran ilmu dan kemajuan teknologi pada ekosistem lebuh raya kedua-dua negara.

Dalam masa 2 tahun kedua pihak akan meneroka pelbagai teknologi antaranya seperti sistem kamera pintar AI, penurapan jalan berprestasi tinggi, dan sistem tol generasi baharu. Kerjasama ini turut dilihat dapat meningkatkan infrastruktur, mengoptimumkan mobiliti, memacu kelestarian, dan memberi manfaat jangka panjang kepada tenaga kerja serta pengguna lebuh raya.

Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, PLUS dan KEC bersedia untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi, ketahanan infrastruktur dan kepuasan pengguna di sepanjang rangkaian lebuh raya.