Menjelang musim cuti persekolahan dan sambutan Krismas pada dua minggu terakhir Disember ini – Pulau Langkawi dilihat memaparkan prestasi yang rancak susulan kadar tempahan penginapan di destinasi peranginan itu telah melebihi 90%.
Peningkatan kadar penginapan ini menurut data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada laporan memperlihatkan Pantai Cenang dan Pantai Tengah menjadi tumpuan pelancong diikuti beberapa hotel di sekitar pekan Kuah. Malah perkembangan itu turut didasari akan penawaran Langkawi Special Deals yang memberi pelancong penjimatan pembelian di Langkawi diskaun sehingga 70%.
Selain penawaran diskaun tersebut, LADA melihat kesan banjir besar yang berlaku di negara jiran, Thailand turut menyebabkan ramai pelancong menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan alternatif. Secara menyeluruh dengan pertambahan pelancong pada Disember ini, rekod itu dijangka akan membantu meningkatkan sasaran 3.5 juta pelancong ke Langkawi pada tahun ini.