Artikel

AirAsia Umum Bolehkan Pramugari Miliki Pilihan Pakai Hijab Ketika Bertugas – Mulai Ramadan 2026

AirAsia hari ini mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan pramugari wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Pelaksanaan ini dijelaskan akan dilaksana pada suku pertama 2026 – mulai bulan Ramadan.

Usaha ini dilihat selaras dengan budaya AirAsia seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan berlandaskan maklum-balas semua pihak. AirAsia pada notis media harini menjelaskan ini adalah komitmen baharu kumpulan dalam mewujudkan persekitaran kerja di mana setiap Allstar berasa yakin, selesa dan bangga mewakili syarikat penerbangan di mana sahaja mereka terbang.

Buat pengetahuan umum, kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan. Pembaharuan terkini ini memperluaskan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.