Pasaran Malaysia kini secara rasminya memperlihatkan 5 bank digital negara telahpun beroperasi pada arena ekonomi – melibatkan GXBank, Boost Bank, Aeon Bank, Ryt Bank dan KAF Digital Bank. Menerusi penyertaan kelima bank digital ini, setakat September 2025 kumpulan telah merekodkan jumlah deposit sebanyak RM3.1 bilion bersama 1.97 juta pelanggan.
Berdasarkan perkembangan itu, hampir 60% daripada pengguna bank digital ini adalah kalangan golongan sasar – iaitu kumpulan yang kurang memiliki akses kepada kemudahan kewangan.
Makluman Kementerian Kewangan (MOF) pada notis lisan di Dewan Negara ini menjelaskan, prestasi itu mencerminkan komitmen bank digital dalam menyediakan kemudahan kepada golongan sasar sebagaimana yang dilaraskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Ini kerana, semua bank digital ketika ini menawarkan pelbagai produk kewangan termasulah tabung simpanan, kemudahan nirtunai, akses DuitNow QR serta akses kewangan yang tertumpu kepada individu, pekerja rencam, ekonomi gig dan PMKS.
Melalui komitmen itu, yang dijangka akan terus diperluas dan diperkukuhkan di pasaran hadapan – MOF optimis langkah tersebut akan terus meraih sokongan kerajaan bersama BNM dalam memastikan setiap peringkat masyarakat terus meraih akses kewangan yang sewajarnya.